Wira Peledak Gol – Amad Diallo Buktikan Puasa Bukan Alasan
Beraksi pada bulan Ramadan bukan halangan bagi bintang muda Manchester United, Amad Diallo yang muncul wira peledak gol kemenangan ketika membantu kelabnya menewaskan seteru utama, Liverpool 4-3 pada aksi suku akhir Piala FA, awal pagi semalam.
Pemain antarabangsa Ivory Coast berusia 21 tahun itu nyata mempunyai asas pegangan agama Islam teguh apabila percaya setiap yang berlaku dan kekuatan dimilikinya adalah datangnya atas izin Allah.
Diallo yang masuk sebagai pemain gantian, meledak gol kemenangan pada hujung masa tambahan di Old Trafford ketika kedudukan semasa terikat 3-3 selepas menerima hantaran cantik Alejandro Garnacho.
Ia sekali gus menafikan hasrat Liverpool untuk cuba menjulang satu lagi piala selepas memenangi Piala Liga pada musim terakhir Jurgen Klopp membimbing kelab itu.
Bagaimanapun Diallo dibuang padang selepas itu kerana melakukan kesalahan kali kedua apabila menanggalkan bajunya selepas menerima kad kuning pertama pada minit ke-116.
Kemenangan itu menyaksikan United akan membuat perhitungan dengan Coventry City pada aksi separuh akhir 20 April depan.
Malah kemenangan itu juga meningkatkan lagi reputasi Diallo yang sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama United namun dia menyerlah ketika dipinjamkan ke Rangers dan Sunderland.
Pada 2021, Diallo bersama-sama bekas bintang United, Paul Pogba, yang juga beragama Islam, menyatakan sokongan kepada penduduk Palestin apabila bersama-sama mengibarkan bendera Palestin di Old Trafford selepas seri 1-1 dengan Fulham. – THE VOKAL