[V] Sebulan Mimi Peri Tidak Lena Tidur Fikirkan Akan Jejak Kaki Di Malaysia, Puas Hati Tengok KLCC
Selebriti media sosial terkenal dari Indonesia yang kini bergelar pelakon, Mimi Peri akui tidak mampu lena tidurnya sementelah memikirkan akan menjejakkan kaki di Malaysia.
Sementelah berada di Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem lakonannya iaitu Mat Tudung Begins, Mimi seolah-olah tidak percaya impiannya untuk melihat Menara Berkembar Petronas (KLCC) jadi kenyataan.
Mimi atau nama sebenarnya Ahmad Jaelani, 35, berkata, sebaik tiba di Malaysia, dia terkejut kerana rasa seperti sangat popular setelah diserbu peminat untuk bergambar dengannya.
“Kali ini saya benar-benar datang dan bergambar di KLCC. Memang sudah lama saya memasang impian untuk melihatnya dengan mata sendiri,” ujarnya kaget.
Dia yang membintangi Mat Tudung Begins dengan membawa wataknya sendiri bersyukur apabila penerbit filem tersebut, Datuk Fizz Fairuz menunaikan impiannya itu.
“Ibu pesan agar saya berhati-hati sepanjang di sini. Tidak sangka saya dapat berlakon filem di Malaysia, impian saya menjadi pelakon termakbul,” kata Mimi menahan sebak.
Selain Mimi dan Fizz, filem Mat Tudung Begins turut dibintangi Achey, Isyariana, Kazar dan Maryam Kimchi. – THE VOKAL