[V] “Politik Mana Ada Dalam Islam!” – Reaksi Seorang Wanita Di DUN Paroi Raih Perhatian Para Pengundi
SEREMBAN – Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan tindakan seorang wanita yang mengkritik calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Norwani Ahmat mengenai hal berkaitan politik dan Islam.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik oleh Norwani Ahmat di akaun TikTok miliknya, calon DUN yang mewakili parti Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu dipercayai sedang berkempen dengan beramah mesra bersama penduduk setempat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) pada esok.
Bagaimanapun, dia sebaliknya menerima kritikan dan teguran ketika menemui seorang warga emas wanita yang juga penduduk di kawasan tersebut.
Jelas wanita itu, pemakaian seseorang itu belum tentu dapat mengubah negara ini agar dipimpin oleh pemimpin Islam yang sebenar.
“Walaupun pakai serban sebesar rumah sekalipun, tetap dia tidak mampu menukar Tanah Melayu kita menjadi sebuah negara yang dipimpin pemimpin benar-benar Islam sebenar.
Lebih mengejutkan, wanita terbabit juga mendakwa tidak pernah mengundi sejak dahulu lagi kerana mengatakan politik tidak ada di dalam Islam.
“Tak takut ke nanti Allah tanya ‘kenapa mu terlibat benda-benda yang zaman nabi tak buat?’, kenapa tak lawan serupa zaman dulu,” kata wanita itu lagi.
Selain itu, individu berkenaan juga menyatakan kebanyakan orang yang akan mengikuti dajal suatu hari nanti adalah golongan-golongan alim ulama.
Wanita itu juga mengingatkan calon DUN tersebut agar tidak terasa hati atau marah dengan kata-kata yang diucapkan olehnya.
Video tular tersebut menerima lebih 2 juta tontonan dan 61,200 tanda suka di TikTok sekaligus mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai. – THE VOKAL