[V] Pengacara Dan Pempengaruh Terkenal, Mek Yun Cuak Diekori Lelaki Warga Asing Tidak Dikenali
KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial yang juga pengacara MBuzz, Mek Yun dakwa telah diekori lelaki dipercayai warga asing sewaktu berjalan-jalan bersama ibunya di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Selasa.
Kejadian itu dimuat naik gadis yang fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan itu menerusi TikTok, sekali gus menerima maklum balas daripada para pengikut khususnya wanita yang pernah berdepan situasi sama.
“Sekarang ni mok (panggilan ibu) dengan Mek Yun tengah jalan, ada lelaki menakutkan ni ikut kami. Kita dah jalan tiga kedai, dia masuk semua kedai dan acah-acah macam tengok barang.
“Mek Yun hampir nak berdepan dengan dia, nak rekod (kamera) tapi dia terus blah (pergi). Hati-hati wanita, kalau korang kena macam ni apa perlu buat ialah masuk ke kedai paling dekat dan bagitahu staff ada lelaki ikut.
Sementara itu dalam keterangan video tersebut, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee memberitahu, ia kali kedua dia bersama ibunya diekori lelaki dipercayai warga asing, malah ketika berjalan seorang diri, dia pernah lima kali berdepan pengalaman sama. – THE VOKAL