[V] Meski Berstatus Anak Bekas Perdana Menteri, NJWA Tak Pernah Terfikir Untuk Menjadi Ahli Politik
KUALA LUMPUR – Sekalipun lahir dalam keluarga politik, penyanyi NJWA, 37, tidak pernah berminat untuk menceburi bidang politik sebagaimana beberapa artis lain yang berbuat demikian.
NJWA atau nama sebenarnya Najwa Mahiaddin, 37, juga bersyukur tidak mendapat tekanan daripada keluarganya untuk berjinak dengan dunia politik kerana tahu jiwanya memang ke arah seni muzik.
“Saya tak pernah dapat tekanan sebegitu dan mereka pun tak adalah nak kata (pasal politik) kerana tahu memang minat saya kepada seni,” katanya ditemui pada majlis pratonton filem Rahsia, di sini, semalam.
Penyanyi Alunan Lara juga runut bunyi Rahsia itu juga memaklumkan dia kini kembali aktif dalam kerjaya muziknya selepas beberapa tahun fokuskan kepada kehidupan peribadi.
“Saya kini kembali buat persembahan terutama selepas filem Rahsia keluar. Dan harapnya akan ada tawaran lain datang, insya-Allah,” katanya.
NJWA juga akui kini berusaha mencari keseimbangan antara menjaga anaknya Kaleela yang kini berusia dua tahun serta teruskan dengan kerja-kerja menyanyi.
“Sekarang masih lagi mencari keseimbangan itu kerana saya rasa sewaktu pandemik memang 100 peratus fokus kepada kehidupan peribadi. Tapi sekarang kena keluar balik,” katanya.
Anak kepada bekas Perdana Menteri Malaysia kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mendirikan rumah tangga dengan Idris Koh Keng Hui pada 26 Mac 2015. – THE VOKAL