Usanita Fest Kita Merdeka Madani, Jiwa Merdeka – Suntik Nostalgia Zaman Kanak-kanak
Usanita Sdn Bhd komited menganjurkan Usanita Fest Kita Merdeka Madani, Jiwa Merdeka di Menara Kuala Lumpur Khamis lalu, dengan suntikan nostalgia zaman kanak-kanak.
Acara ini menggabungkan elemen masa depan dan masa lampau, bertemakan neon dan nostalgia zaman kanak-kanak, untuk menyatukan semua dalam satu program yang penuh warna-warni dan berjiwa merdeka.
Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia ke-9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Yang Berhormat Tuan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, Tan Sri Shahrizat Jalil dan orang kuat Usanita iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzliana Hasan.
Menariknya, acara ini mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti seperti permainan tradisional congkak, batu seremban, dan ting ting, selain daripada demo seni kraf canting batik yang membangkitkan warisan tradisi kita.
Lebih istimewa ialah ketika semua tetamu kehormat dan hadirin bersama-sama naik
ke pentas untuk mengibarkan Jalur Gemilang, diiringi nyanyian Ella dengan lagu “Standing in The Eyes of The World”.
Momen ini sungguh mengujakan, menghidupkan semangat patriotisme dan
kebanggaan terhadap tanah air.
Adzlina dalam ucapannya berkongsi bahawa tema Jiwa Merdeka dipilih untuk menghidupkan semula memori indah zaman kanak-kanak sambil menyatukan semua lapisan masyarakat dalam semangat kemerdekaan.
Pendekatan ‘throwback to childhood memories’ ini memberikan sentuhan nostalgia yang membawa kita kembali ke zaman kecil, sementara elemen neon melambangkan harapan masa depan yang lebih cerah.
Usanita Fest dimeriahkan lagi dengan barisan selebriti terkenal seperti Awal Ashaari, Ella, Fiza Sabjahan, Amir Masdi, Uyaina, Zoey Rahman, Marsila Hasan, dan Syairul Islam. – THE VOKAL