Usahawan Kesal ‘Ditikam’ Kawan Baik – RM2 Juta Ezan Ithnin Lesap
Kemelut dianiaya orang paling rapat dan dipercayai dalam hidup bukan perkara baru, malah ramai yang menjadi mangsa.
Usahawan Ezan Ithnin berkongsi pengalaman hitam itu apabila kerugian RM2 juta akibat ditipu kawan baik sendiri.
Lebih menakutkan, apabila dirinya hampir hilang pertimbangan dan melakukan tindakan membunuh diri.
“Kisah ini berlaku tahun lalu. Saya mempunyai beberapa orang kawan baik yang juga rakan kongsi dalam bisnes construction .
“Nama pun kawan baik. Jadi segala-galanya dikongsi bersama. Ini kerana dalam berkawan saya niat ikhlas kerana Allah, ingin sama-sama berjaya.
“Tapi itulah, buat baik belum tentu dibalas baik. Bukanlah saya mengharapkan balasan dalam berkawan, tapi janganlah mengkhianati saya sehingga membuatkan saya jatuh terduduk dengan kerugian keseluruhan sebanyak RM2 juta.
“Jumlah ini merujuk kepada beberapa kali saya ditipu oleh kawan baik yang berlainan. Rasa kecewa, terkilan dan saya hampir mahu bunuh diri kerana terlalu stres.
“Saya jadi murung, kepala berpusing-pusing dan berat badan susut sebanyak 20 kilogram. Dalam masa yang sama, kerap kali ada suara berbisik kepada saya agar terjun dari bangunan pejabat yang tinggi untuk hilang stres.
“Saya mengucap panjang. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati saya untuk tidak melakukan dosa besar itu,” luahnya yang hampir terjun dari sebuah bangunan tinggi sekitar Kuala Lumpur.
Ezan yang merupakan usahawan teknologi baharu dan pelancongan itu tidak berniat mahu membongkar kisah yang berlaku dulu, tetapi niatnya mahu berkongsi dengan masyarakat agar berwaspasda terhadap kawan baik.
“Saya yakin, apa yang berlaku kepada saya juga terjadi kepada masyarakat di luar sana. Tidak kiralah apa bidang atau situasi sekalipun, berhati-hatilah dalam berkawan.
“Kesilapan saya adalah terlalu mempercayai orang lain dan mudah ‘diperbodohkan’ sehingga akhirnya diri sendiri merana. Komitmen yang diberikan hanya sia-sia, emosi terganggu ditambah pula dengan kemurungan dan duit lesap RM2 juta, itu sahaja ‘faedah’ yang saya dapat hasil mempercayai kawan baik.
“Iya, kadang-kadang semua ini di luar kawalan kita. Kita bukannya tahu kalau kawan baik ada hati busuk atau berniat jahat. Di hadapan bukan main baik dan seolah-olah dialah yang paling prihatin, rupa-rupanya dialah yang menunggu masa mahu lihat kita jatuh.
“Tipulah kalau saya cakap tak pernah rasa nak putus asa. Tapi saya percaya Allah telah mengaturkan yang terbaik buat hamba-hambaNya dan apa yang berlaku jadikan pengajaran agar tidak berulang lagi,” ujarnya.
Pengalaman pahit itu membuatkan Ezan jadi fobia dan sukar untuk percayakan seseorang.
“Kesannya memang cukup terasa. Hingga kini saya memang susah nak percayakan orang lain, meskipun hari-hari berjumpa.
“Malah, saya jadi trauma untuk ada kawan baharu kerana pengalaman tersebut.
“Ada yang cakap saya ni ‘kera sumbang’ atau anti sosial kerana kurang bergaul. Saya dah tak kisah apa tanggapan orang, kerana pengakhirannya nanti saya juga yang merana. Cukup-cukuplah kena tipu,” tambahnya.
Berbekalkan semangat baharu, Ezan menerusi syarikatnya MYG Group Holding Sdn Bhd, kini sedang aktif mengusahakan bisnes berkaitan teknologi, produk pelancongan dan teknologi dalam pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Insya Allah, dalam masa terdekat syarikat saya akan merasmikan produk-produk kami di Malaysia.
“Selain bisnes, saya seronok kerana produk-produk yang kami bawa boleh beri faedah kepada kita semua dalam kehidupan seharian.
“Manusia yang paling baik adalah manusia yang bermanfaat kepada orang lain. Semoga dengan niat baik ini, saya akan terus dimurahkan rezeki dan dikelilingi oleh insan-insan yang baik,” katanya. – THE VOKAL