TRW Sudah Terkubur – Nasi Sudah Menjadi Bubur
Dalam satu laporan media semalam, Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Nasir Sheikh Mohd Sharif mengesahkan Kelantan FC tidak akan beraksi di saingan Liga Super musim 2024-2025 selepas gagal mendapatkan lesen kebangsaan.
Bagaimanapun Kelantan FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Perlesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari ini sebelum pukul 5 petang.
Susulan itu, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (Kelate.Net) menganggap tiada gunanya lagi mendesak pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham melepaskan kelab tersebut kerana masa itu sudah berlalu.
Presidennya, Mohd Nurul Md Yusoh berkata, ia sudah tidak berguna lagi kerana kerosakan terlalu teruk telah berlaku dan penyokong setia The Red Warriors (TRW) perlu menerima hakikat bahawa pasukan itu sudah boleh dianggap terkubur.
Menurutnya, mungkin Kelantan seperti masih diberikan ‘talian hayat terakhir’ untuk mendapatkan lesen kebangsaan tetapi melihat kepada jangkamasa diberikan, ia mungkin sekadar ‘mimpi di siang hari’.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Mohd Nurul berkata pihaknya terus mendesak agar Norizam tetap mengotakan setiap janji yang telah ditaburkan kepada barisan pemain Kelantan ketika mereka menandatangani kontrak untuk bersama-sama TRW.
Katanya, pemilik kelab berpangkalan di Kota Bharu itu perlu bersikap profesional.