
Tragedi Parit – Kanak-Kanak Lima Tahun Maut
Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam parit di Lorong Cempaka, Batu 18 ½, Kampung Sungai Tiram di sini, malam tadi.
Mangsa ditemui tersangkut pada pangkal pokok kelapa sawit, dua kilometer (km) dari lokasi dilaporkan terjatuh.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Rafie Ahmad Sareng berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 7.07 malam, sebelum 14 anggota dikerah ke lokasi.
“Pasukan dibantu unit PPDA (Pasukan Penyelamat Dalam Air) melakukan pencarian di sekitar sungai tempat mangsa dipercayai terjatuh dan hanyut dibawa arus.

“Mangsa kemudian ditemui tersangkut pada pangkal pokok kelapa sawit pada 10.30 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 12.16 tengah malam. – THE VOKAL