Tidak Serik Kerjasama Selebriti – Haris Saman Demi Bersih Nama Dan Perniagaan
Niatnya mahu membersihkan nama dan perniagaan yang tercalar ekoran dakwaan fitnah yang dilemparkan bekas pekerjanya yang juga seorang pelakon.
Bagi usahawan Datuk Haris Embong, dirinya bersyukur apabila menang dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap pelakon Rafidah Ibrahim atau Fida tiga tahun lalu.
“Saya tidak berdendam atau kesal cuma tujuan saya membuat tindakan saman kerana mahu membersihkan nama saya dan perniagaan akibat tuduhan yang dibuat,” katanya dalam sidang media yang diadakan di ibu kota hari ini.
Rabu lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memerintahkan Rafidah atau Fida membayar ganti rugi kepada Haris dan syarikatnya iaitu Arisprop Holdings Sdn Bhd sebanyak RM280,000.
Rafidah juga dikenakan faedah lima peratus setahun bermula penghakiman sehingga selesai membuat pembayaran ganti rugi tersebut.
Haris, 47, berkata tindakan mahkamah yang dibuat juga sebagai jalan terakhir selepas Rafidah sendiri meminta pihaknya menyelesaikan perkara itu melalui peguamnya.
“Saya ada mengirimkan pesanan kepadanya (Rafidah) untuk menyelesaikan perkara ini dan dia balas untuk saya berurusan dengan peguamnya,” katanya.
Tambahnya, kemenangan itu bukanlah semata-mata untuk mendapat pampasan wang sebaliknya mahu membersihkan nama yang sudah tercalar.
Sementara itu, usahawan yang juga bakal muncul dengan filem seram Batik Lepas itu mengakui tidak serik bekerjasama dengan selebriti.
Baginya, tidak adil untuk membuat tanggapan semua selebriti mempunyai masalah seperti kemelut yang dihadapinya.
Untuk rekod, Rafidah pernah bekerja bersama Arisprop Holdings San Bhd sebagai ketua pemasaran syarikat berkenaan.
Bagaimanapun aktres itu diberhentikan selepas berkhidmat selama tiga bulan bermula Jun 2021 kerana prestasi kerja yang kurang memuaskan.- THE VOKAL