Tidak Direman SPRM – MB Perlis Hanya Beri Keterangan
Bukan ditahan reman, hanya beri keterangan. Demikian halnya dengan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli yang dikhabarkan muncul di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.
Menurut satu hantaran dalam Facebook miliknya hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Perlis itu sudah dibenarkan pulang selepas keterangannya diambil bermula dari 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS itu tampil di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pentadbiran negeri itu semenjak PN mengambil alih pentadbiran negeri itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022 lalu.
Hal ini berlaku selepas anak Mohd Shukri yang juga menantu kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang antara enam individu yang direman duan hari oleh SPRM pada Rabu minggu lalu bagi membantu siasatan berhubung siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.
Dua hari lalu pula, SPRM mengesahkan bahawa sedang menyiasat seorang pemimpin kanan sebuah negeri di utara kerana disyaki terbabit dengan salah guna kuasa. – THE VOKAL