Faktor utama nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pada 23 April lalu dikenal pasti akibat salah satu pesawat berkenaan tidak berada pada ketinggian dan haluan ditetapkan.
Malah, pesawat Fennec terbabit dikatakan memasuki laluan pesawat AW139 yang turut menjadi punca utama nahas berkenaan yang mengorbankan 10 nyawa.
TLDM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan faktor lain mendorong nahas itu berlaku adalah ‘channelized attention’ oleh kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran.
Menurutnya, selepas siasatan dilaksanakan secara komprehensif, Lembaga Siasatan mendapati laporan autopsi mengesahkan bahawa tiada isu ‘hypoglycemia’ (keadaan kekurangan kepekatan glukosa di dalam darah) atau unsur-unsur ‘fatigue’ (kepenatan) terhadap semua kru udara serta tiada penggunaan bahan terlarang.
Katanya, pesawat Fennec juga ditentukan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan analisis visual dan bunyi serta dokumentasi.
Malah, katanya, keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.
Menurutnya, kerjasama, kepakaran dan pandangan dari pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi membantu siasatan.