The Red Devils Bangkit – Tamat Kemarau Kemenangan
Selepas terpaksa akur tewas dalam empat siri perlawanan The Red Devils mampu menarik nafas lega dalam persaingan awal pagi tadi.
Manchester United akhirnya mencipta kemenangan dengan menewaskan Aston Villa 3-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Old Trafford.
Namun ia bukanlah satu kemenangan mudah apabila pasukan itu terlebih dulu ketinggalan dua gol kepada Villa dalam tempoh lima minit hasil jaringan John McGinn dan Leander Dendocker pada minit ke-21 serta 26.
Bagaimanapun, United yang masih segar dengan kehadiran pemilik baharu, Sir Jim Ratcliffe membuktikan kebangkitan sebenar mereka dengan meledak tiga gol untuk merakam tiga mata berharga dalam aksi itu.
Tiga gol tersebut berjaya diperoleh menerusi dua jaringan Alejandro Garnacho pada minit ke-59 dan 71 serta satu daripada Rasmus Hojlund pada minit ke-82.
Menariknya, ia adalah jaringan pertama Hojlund dalam kempen EPL musim ini sejak berhijrah menyertai United dari Atalanta pada Julai lalu menerusi yuran perpindahan keseluruhan bernilai £72 juta (RM424.44 juta).
Kemenangan itu melonjakkan skuad bimbingan Erik Ten Hag tersebut ke tangga keenam dengan 31 mata selepas mengharungi 19 perlawanan EPL setakat ini.
United selepas ini akan meneruskan aksi menentang Nottingham Forest pada 31 Disember ini. – THE VOKAL