
Teruskan Konsert 9 Mac – Matlamat Kumpul Dana Termasuk Untuk Palestine
Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza akan tetap diteruskan mengikut jadual kerana sejak dari awal penganjuran ia bertujuan untuk mengumpul dana kebajikan.

Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dalam satu kenyataan memaklumkan penganjuran konsert tersebut adalah sangat jelas untuk berkongsi rezeki dan amat diyakini akan mengurangkan beban penderitaan sesetengah golongan termasuk rakyat di Palestin.
Khalid yang juga suami kepada Siti Nurhaliza berkata, Yayasan Nurjiwa dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor, agar konsert tersebut ditunda pada satu tarikh lain.

“Sejak mula diberikan tarikh penganjuran konsert oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional, kami di Yayasan Nurjiwa dan pihak Siti Nurhaliza sedia maklum tarikh 9 Mac 2024 menghampiri 1 Ramadan.
“Kami di Yayasan Nurjiwa juga telah diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami.

“Untuk pengetahuan semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan dengan Perbadanan Stadium Nasional sejak awal tahun 2023 lagi, namun tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan dan mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu.
“Namun, memahami matlamat dan objektif utama penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza membuatkan kami mencapai keputusan secara konsesus untuk meneruskannya,” katanya.

Selain itu, Khalid menambah konsert ini diteruskan kerana rakyat Palestin harus dibantu dengan segera.
“Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak disaluran dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.
“Kita tidak mampu untuk menunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara-saudara kita di Palestin.

“Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Oktober lalu.
“Terlewat sehari dua saja boleh mengundang malapetaka lain buat mereka. Oleh itu, Yayasan Nurjiwa berpendapat, ada baiknya konsert diteruskan demi untuk mencari dana,” kata Khalid lagi.
Selain itu, beliau menjelaskan Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza sering menyebut tujuan ‘Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’ adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster termasuk kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan, serta bantuan khas Palestin. – THE VOKAL