Terdengar Bisikan Halus, Pakcik Hempas Bayi Ke Lantai Dan Campak Budak 3 Tahun Dari Tingkat Satu
PULAU PINANG – Seorang bayi berusia 40 hari dan kakaknya tiga tahun, berdepan insiden ngeri apabila mereka dihempas dan dicampak oleh pakcik sendiri.
Bayi berkenaan dilaporkan dihempas ke lantai manakala kakaknya dicampak dari tingkat satu pangsapuri di Sungai Pinang di Georgetown.
Dalam kejadian 3.40 petang Rabu, suspek yang berusia 29 tahun turut mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum mencederakan kedua-dua mangsa.
Akibat kejadian itu, kanak-kanak berusia tiga tahun itu patah kaki kiri dan cedera di mulut, sementara adiknya mengalami pendarahan di kepala.
Difahamkan, kanak-kanak dan bayi itu berada di kediaman nenek mereka berikutan ibunya masih dalam tempoh berpantang.
Dilaporkan, suspek turut mendakwa terdengar bisikan sebelum bertindak mencederakan kedua-dua mangsa tersebut.
Suspek juga dipercayai sedang menerima rawatan tradisional kerana mengalami masalah kesihatan sejak dua bulan lalu.
Sementara itu dilaporkan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan mengenai kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – THE VOKAL