Tempoh antara 48 hingga 72 jam bakal menentukan nasib pemain sayap Selangor FC (SFC), Faisal Halim sama ada hospital terus menjadi rumah keduanya atau dibenarkan pulang dalam minggu ini.
Pemain kebangsaan itu menjalani pembedahan keempat membabitkan proses ‘split skin grafting’ (SSG), pagi tadi dan perkembangan Faisal akan terus dipantau di hospital.
Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair menjangkakan pembedahan keempat itu bakal menjadi prosedur terakhir buat ‘Mickey’, namun tidak menolak kemungkinan pemain itu perlu menjalani beberapa prosedur kecil selepas ini.
Pada masa sama, Hazwan turut melihat rawatan pemain itu bukan hanya bersandarkan kepada fizikal semata-mata, malah mental dan psikologi Faisal perlu ‘dirawat’ bagi memastikan dia dapat kembali beraksi seperti biasa.