Tambang Bas Sekolah Mungkin Naik – Susulan Peningkatan Kos Operasi
Satu lagi khabar kurang baik buat para ibu bapa yang menggunakan khidmat bas sekolah untuk anak-anak mereka apabila kadar tambang bulanan dijangkan ada peningkatan.
Kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka naik susulan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan itu terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, jumlah peningkatan itu bagaimanapun tidak sama dan ia akan bergantung kepada pengusaha bas sekolah selaku pihak yang menjalankan operasi.
Menurutnya, ia juga berdasarkan kawasan dan kos operasi selepas kerajaan tidak mengawal kadar tambang bas sekolah.
Katanya, kadar tambang bas sekolah mengikut kepada pasaran sejak Januari 2015, malah pihaknya juga tiada kuasa menetapkan perkara berkenaan.