“Tak Percaya Ustaz Akan Lakukan Perbuatan Itu” – Saksi Kedua, Bapa Terkejut Anak Jadi Mangsa
Bapa kepada seorang mangsa gangguan seksual Pencetus Ummah (PU) Azman memaklumkan kepada pihak Mahkamah Sesyen Seremban dirinya menghantar anak ke rumah pendakwah itu untuk bermalam disitu atas tujuan menimba ilmu agama.
Antara sebab dia menghantar anak ke rumah PU Azman atau nama sebenar, Azman Syah Alias kerana percaya pendakwah bebas itu mampu memberi didikan agama serta beri nasihat buat anak lelakinya.
Bahkan, mangsa berumur 17 tahun itu turut mendapat keizinan untuk bermalam di rumah Azman selepas bapa sendiri menghantar ke kediaman pendakwah itu yang terletak di Klang, Selangor.
Bapa mangsa mengetahui kelakuan jijik pendakwah itu selepas seorang guru sekolah turut mendakwa anaknya menjadi mangsa gangguan seksual Azman.
Dalam pada itu, saksi memberitahu anak lelakinya mengalami masalah tekanan atas perkara yang sudah berlaku terhadap dirinya dan dia turut meminta untuk menamatkan pengajian di kolej vokasional.
Sekadar info, PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual secara fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari serta Julai, 2022. – THE VOKAL