Tak Dibayar Jadi Punca? – Datuk Jamal Tarik Diri Sertai AJL38
Syarikat rakaman FMC Music selaku penerbit lagu Kucuma mengesahkan Datuk Jamal Abdillah menarik diri daripada menyertai Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada 3 Mac depan.
Jamal sepatutnya berduet Wany Hasrita, namun membuat keputusan untuk tidak beraksi pada malam itu nanti.
Pengarah Urusan FMC Music, C.F Ho, berkata penghibur terbabit sudah berbincang dengan semua pihak sebelum mengumumkan dan memaklumkan keputusannya kepada pihak produksi TV3.
Menurutnya lagi, FMC yang mencadangkan agar Raja Pop terbabit memberitahu TV3 mengenai hasratnya.
Penyanyi Afieq Shazwan dipilih bagi menggantikan Jamal untuk menyampaikan lagu itu pada 3 Mac depan.
Media sebelum ini melaporkan Jamal mengesahkan telah menarik diri daripada pertandingan berprestij itu.
Jamal, 65, ketika dihubungi berkata, dia terpaksa menarik diri daripada bertanding di pentas AJL38 menerusi lagu Kucuma, duet bersama penyanyi Wany Hasrita kerana terikat dengan komitmen lain.
Jamal menegaskan dia mempunyai beberapa alasan lain yang lebih besar, namun enggan mendedahkannya.
Bagaimanapun bertebaran di media sosial menyatakan tidak dibayar menjadi antara punca penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu menarik diri. – THE VOKAL