Susulan Langgar Kontrak A Aida, Aktres Amelia Henderson Dibenar Tangguh Bayar RM215,000
KUALA LUMPUR – Susulan tewas dalam kes saman dikemukakan syarikat A Aida Productions, pelakon sensasi, Amelia Henderson berjaya menangguhkan permohonan maaf dan bayaran ganti rugi sebanyak RM210,000 terhadap produksi terbabit.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, selaku pemohon.
Menerusi penghakiman dalam talian, mahkamah menggunakan budi bicara dan membenarkan permohonan penggantungan perintah yang menghendaki permohonan maaf secara terbuka dan penghapusan video dari laman sosial defendan.
Selain itu, berhubung pembayaran ganti rugi, mahkamah turut membenarkan penangguhan bayaran tersebut.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan supaya wang itu dimasukkan ke dalam akaun bersama yang akan dikendalikan oleh kedua-dua firma guaman yang mewakili syarikat produksi itu dan Amelia.
Sebelum ini, Amelia memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi itu pada 7 April lalu. – THE VOKAL