Survival Seni Siti Nordiana – 25 Tahun Dan Terus Mekar
Menjadi sebahagian penonton dalam ruang Memori Berkasih Siti Nordina 25 tahun baru-baru ini memberikan kenangan manis buat penulis.
Jujurnya lebih dua jam bersama Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berlalu dengan laju tanpa sempat merasa jemu.
Nana mempunyai satu kekuatan tersendiri dalam menarik mereka yang menonton persembahannya rasa selesa dan ‘relatable’ dengannya.
Tidak hairan, Nana mampu terus kekal meskipun datanglah berapa ramai bakat baharu pun dalam katalog industri hiburan tanah air.
Pada konsert sulung lalu, penyanyi ini bijak mengawal penonton menerusi semua aspek yang ditampilkan iaitu nyanyian, pilihan lagu serta komunikasi yang baik.
Mungkin ada yang berpendapat untunglah Nana kerana punyai kelompok peminat yang kuat menyokongnya.
Ya, itulah kelebihan seorang Siti Nordiana, digemari ramai, kerana sentiasa menjadi diri sendiri dan selesa dengan apa yang dimiliki.
Nana tidak pernah terikut-ikut acuan artis lain termasuk dalam muzik yang diperjuangkan, biarlah digelar penyanyi leman, dia tetap relevan hingga ke hari ini.
Persembahan Nana juga kemas dan beruntung kerana sentiasa mempunyai penyanyi latar sukarela iaitu peminatnya yang tidak pernah diam sejak lagu pertama dialunkan Nana.
Jelas, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini dan pasukannya bijak memilih lagu nyanyian kerana semuanya diketahui majoriti yang hadir.
Keputusan untuk tampil tanpa artis undangan juga berjaya dengan mengajak penonton yang hadir sebagai rakat duet serta mengekalkan suara arwah Achik Spin dalam lagu yang dipersembahkan.
Pada konsert itu, Nana tidak henti merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat, rakan media, pemuzik serta semua tetamu yang hadir pada konsert sulungnya itu.
Konsert yang dibawakan oleh Icon Entertainment dan berlangsung di Zepp KL menampilkan 21 buah lagu di bawah pimpinan pengarah muzik Johan Shamsudin.
Pada konsert itu, Nana membuka pentas dengan lagu Amaran sehinggalah ke lagu terakhir yang dinantikan peminat iaitu Paling Comel selain lagu Tak Upaya Menangis Lagi, Terus Mencintaimu, Hatiku Milikmu serta lagu irama Malaysia Benang Emas dan Bakawali.
Turut menarik perhatian dan menyentuh emosi apabila Nana menyampaikan lagu berhantu Memori Berkasih dengan mengekalkan rakaman asal menggunakan suara arwah Achik.
Pada penulis Nana berjaya dalam penampilan konsert sulungnya namun satu kelemahan yang perlu diperbaiki ialah penampilan pakaian penari serta prop yang digunakan tidak setaraf dengan bedirinya seorang artis versatil seperti Nana.
Ini skala persembahan besar dan hal seperti kecacatan pada prop seperti kipas koyak yang digunakan tidak patut berlaku, mungkin kecil pada mata yang lain tetapi itulah yang menggangu ‘exclusivity’ persembahan Nana.
Keseluruhannya, Nana suskses dalam menghadiahkan Memori Berkasih buat semua peminat yang hadir dan pastinya terus mekar dan bertakhta di hati peminat.
Siti Nordiana, yang sentiasa tenang dan ampuh mengharung lebih dua dekad perjuangan sebagai anak seni dengan caranya tersendiri! – THE VOKAL