Super Safee Sah Cerai – Safee Cerai Isteri Talak Dua
Bekas bintang bola sepak kebangsaan,
Safee Sali sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, hari ini.
Hakim Syarie Mohd. Fakhrurrazi Mahammad memutuskan demikian dalam prosiding pengesahan lafaz cerai selepas meneliti keterangan kedua-dua pihak.
Fitria Elfina Maharip , 44, selaku plaintif berkata, dia menerima dua lafaz cerai menerusi pesanan suara yang dihantar Safee, 40, menerusi aplikasi WhatsApp pada 11 Februari lalu.
“Pesanan secara berasingan itu dihantar menerusi telefon bimbit anak kami kerana telefon saya sudah dirampas.
“Lafaz itu adalah ‘saya lepaskan awak dan saya ceraikan awak’ dan ‘sekali lagi saya ikhlas saya ceraikan awak’. Pada waktu itu, saya dalam keadaan suci dan tidak mengandung,” katanya.
Sementara itu, dia yang pernah digelar Super Safee memaklumkan dirinya dengan niat jelas dan terang hati melafazkan cerai itu.
“Saya ketika itu dalam keadaan tenang dan waras tanpa dipengaruhi oleh sesiapa yang memaksa melafazkan talak berkenaans.
“Kata-kata perceraian itu dibuat lebih daripada sekali supaya ‘terang’ dan saya turut menghantar pesanan suara itu kepada abang ipar yang juga wali bekas isteri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Fitria Elfina mendakwa mentalnya didera selama setahun dan pemfailan nusyuz dibuat atas dakwaan dia meninggalkan dua anak dengan pulang ke Batam, Indonesia. – THE VOKAL