
Sufian Suhaimi Kembali Dengan Lagu Balada, Nafi Menggenggam Bahagia Petanda Bakal Berkahwin
KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Sufian Suhaimi menafikan bakal menamatkan zaman bujang kerana dia merasakan umur 31 tahun itu masih muda dan perjalanannya masih jauh.
Malah, pelantun lagu Di Matamu itu turut menyangkal spekulasi mendakwa single terbaharunya berjudul Menggenggam Bahagia adalah berkaitan dengan kisah peribadinya.

“Saya rasa umur 31 tahun ni masih muda dan saya belum ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
“Ada juga yang kata tajuk lagu baharu saya iaitu Menggenggam Bahagia ada kaitan dengan hidup saya. Kononnya saya sedang berbahagia dan petanda akan menamatkan zaman bujang.

“Lagu tu sebenarnya berkait rapat dengan pengorbanan salah seorang komposer yang mengharungi kehidupan sukar ketika pandemik Covid-19 sehingga kekurangan wang untuk membeli beras.
“Sehinggakan ada satu bungkus mi segera yang memaksa mereka suami isteri berkongsi.
“Namun dalam masa sama, dia mendapat ilham menghasilkan lagu tersebut yang berkisar tentang keengganannya melepaskan momen bahagia itu.

“Alhamdulillah, komposer tersebut memberi kepercayaan kepada saya untuk menyanyikan lagu indah itu,” jelasnya.
Sufian berkongsi mengenai perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaharunya berjudul Mengenggam Bahagia yang diadakan di sekitar ibu kota pada Rabu lalu.
Mengenggam Bahagia merupakan hasil ciptaan gabungan barisan komposer hebat dan terkenal iaitu Sirkhan, Ibnu Rinkarnaen dan Sang Hitam. – THE VOKAL