Sudah Bernikah Sejak Lebih Sebulan Lalu – Anak Pasangan Pelakon Nikahi Suami Orang Di Songkhla
Selamat bernikah lebih sebulan lalu tanpa pengetahuan ibu bapa? Demikian berita yang bertebaran mengenai anak pasangan pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi yang didakwa sudah menjadi isteri orang dalam pernikahan yang berlangsung di negara jiran.
Marissa Dania Hakim dikhabarkan sudah bernikah dengan lelaki berstatus suami orang dikenali sebagai Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember lalu.
Perkara tersebut tular selepas sebuah portal berita mendakwa Marissa, 19, bernikah dengan Aslam tanpa pengetahuan isteri pertama lelaki tersebut dikenali sebagai Misya yang pada ketika itu sedang menunaikan umrah.
Bukan itu sahaja, pernikahan mereka juga dikatakan berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa.
Difahamkan, hubungan Marissa dan Aslam dikatakan kembali terjalin selepas kontroversi yang melanda mereka sekitar September tahun lalu reda bahkan Aslam rujuk semula dengan Misya.
Pada September tahun lalu kecoh dalam media sosial apabila Misya yang juga ibu kepada dua cahaya mata tampil membongkar dakwaan kisah kecurangan suaminya dengan Marissa.
Misya menerusi satu hantaran di media sosial mendedahkan Marissa yang juga pempengaruh itu didakwa menjadi penyebab utama dia diceraikan suaminya.
Selepas dihambat dengan kecaman, Marissa seterusnya tampil bersuara dengan mengakui kesilapan bagaimanapun tidak berasakan satu keperluan membuat pembelaan mempertahankan perbuatannya menjalin hubungan dengan suami orang. – THE VOKAL