Suami Pelakon Miera Leyana, Rosland Ceraikan Isteri Pertama, Adibah Abdul Mutalib Dengan Talak Satu
KUALA LUMPUR – Hubungan rumah tangga yang dibina selama 28 tahun oleh Rosland Othman, 50, bersama isteri pertama, Adibah Abdul Mutalib, 50, akhirnya terlerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Rosland yang juga suami pelakon, Miera Leyana melafazkan cerai kepada Adibah tepat jam 10.50 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali.
Peguam, Junid Ramali yang mewakili Adibah berkata, perceraian berlaku antara Rosland selaku plantif dan anak guamnya, Adibah (defendan) pada hari ini, selepas Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) melaporkan perdamaian gagal dicapai.
“Menerusi laporan JKP memaklumkan kepada mahkamah perdamaian gagal dicapai. Mereka tidak boleh mendamaikan kedua-dua belah pihak, jadi mahkamah mengarahkan atau memberi kebenaran kepada pihak plantif (Rosland) melafazkan talak satu.
Junid berkata, sebagai peguam yang mewakili Adibah sudah memaklumkan sejak peringkat awal agar anak guamnya itu bersedia dengan sebarang keputusan akan diterima.
“Selalunya kes membabitkan perceraian ini difailkan oleh isteri, tetapi apabila ia (perceraian) difailkan oleh suami dalam kes Adibah ini, memang akan berakhir dengan perceraian juga.
“Sebabnya, suami yang memang nak ceraikan isteri. Jadi, pihak kami sudah cuba sedaya-upaya dan akhirnya sampai di sini sahaja perjuangan itu,” katanya.
Ditanya mengenai tuntutan hadanah atau hak penjagaan anak dibuat Rosland pada hari ini, Junid berkata, ahli perniagaan itu menuntut hak penjagaan terhadap dua anak perempuannya berusia 12 dan 11 tahun.
“Mengenai kes tuntutan hadanah ini, bekas suami anak guam saya memang membuat tuntutan hak penjagaan terhadap dua orang anaknya yang masih kecil, manakala tiga orang lagi anak perempuan sudah besar.
“Hari ini, untuk kes tuntutan hadanah hanya sebutan bagi melengkapkan dokumen, sebelum mahkamah mengarahkan pada 4 September depan untuk semua dokumen lengkap dan dua anak itu juga perlu dibawa ke mahkamah untuk hakim dengar pendirian anak,” katanya. – THE VOKAL
Sumber: HARIAN METRO