Siti Penipu Jual Emas – Larikan RM110 Juta
Terpedaya dengan harga emas 916 yang rendah dari pasaran, lebih 100 orang mangsa berputih mata apabila kerugian lebih RM110 juta selepas diperdaya seorang ahli perniagaan wanita dikenali Siti Hajartul Haini Abd Hamid sejak dua bulan lalu.
Lebih malang, kebanyakan mangsa bekerja di satu unit hospital awam di Lembah Klang selain guru di beberapa negeri, kini diburu kerana menjadi orang tengah yang mengumpul wang.
Sama seperti beberapa skim kutu memperdaya mangsa sebelum ini, pelabur ditawar harga murah sehingga ada yang sanggup meminjam daripada saudara mara, rakan dan along semata-mata untuk merebut ‘tawaran hebat’ terbabit.
Malah, dengan menggunakan dua orang kanannya yang juga penjawat awam di hospital dan guru sekolah, mereka mencari mangsa sebelum menawarkan pelaburan terbabit.
Mariam (bukan nama sebenar) berkata, dia diperkenalkan kepada skim itu oleh wanita terbabit sekitar Februari lalu yang memberi jaminan pulangan berdasarkan harga emas semasa pada waktu pelaburan.
Menurutnya, pada waktu itu, harga emas ditawar jauh lebih murah daripada harga emas pasaran pada kadar sekitar RM169 sehingga RM195 per gram dengan tempoh pulangan antara tiga hingga enam bulan dari tarikh pelaburan.
“Saya teruja dan menjemput rakan lain memasuki pelaburan dengan Siti Hajar dan mereka setuju memasuki ke dalam pelaburan itu dengan membuat pembayaran kepada saya.
“Sebaik wang dikumpul saya memindahkannya ke akaun milik wanita terbabit membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM2 juta di mana wang saya sendiri dilaburkan RM408,110,” katanya kepada Metro Ahad.
Mariam berkata, mereka dijanjikan pulangan bermula Julai hingga Disember ini namun sehingga kini pelbagai alasan diberi bagi mengelak pembayaran dan penyerahan emas kepadanya dan rakan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa ingin dikenali Sarinah (bukan nama sebenar) berkata, dia diperkenalkan kepada skim pelaburan emas itu oleh seorang lelaki yang juga kenalan wanita terbabit pada Januari lalu.
“Saya dijanjikan pelaburan ini dijamin dan saya akan terima pulangan berdasarkan harga emas semasa pada waktu pelaburan.
“Tertarik dengan pelaburan itu saya buat pembayaran RM298,100 dan turut dijanjikan pulangan bermula Julai lalu namun sehingga kini tidak menerima apa-apa pemulangan hasil pelaburan itu,” katanya.
Katanya, dia ada bertanya kepada lelaki terbabit namun pelbagai alasan diberikan bagi mengelak pembayaran atau penyerahan emas itu.Sehubungan itu mereka berdua yang turut meminta bantuan Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Dr Mahmud Jumaat tampil membuat laporan di Kedah semalam bagi meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan.
Sumber: HARIAN METRO