Siti Nurhaliza Yang Membumi – Meski Selesa Kekal Di Atas ‘Takhta’
Puas. Tidak berlebih-lebih cukup segala-galanya dalam semua aspek. Lagu, nyanyian, pentas, gimik dan busana.
Demikian gambaran paling tepat untuk kejayaan konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang berlangsung 9 Mac lalu.
Memetik kata wartawan hiburan senior Bobo Fahad, semakin ramai yang cuba menghampiri, semakin jauh Datuk Seri Siti Nurhaliza terbang tinggi.
Bezanya, terbang seorang Siti Nurhaliza, beliau tidak pernah lupa diri dan terus membumi meski sudah memahat kukuh hampir tiga dekad koordinatnya dalam industri seni.
Membuka pentas persembahan dengan lagu Lebih Indah, Siti muncul penuh gaya dan terus mencipta momentum konsert bertujuan amal itu.
Beliau menghargai kehadiran semua penonton dan memastikan setiap saat dalam konsert berkenaan menjadi momen untuk diingati.
Pertanyaan yang disambut teriakan gemuruh seisi Axiata Arena sejak kelibat Siti muncul sehingga ke penutup 36 buah lagu iaitu Menyapa Dunia.
Terlalu banyak untuk dicoretkan mengenai konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza, ternyata penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini memang kesuma hati ramai.
Hingga membawa ramai yang terbang dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei serta sekeluarga peminat dari Portugal demi menonton konsert yang bertujuan menyalurkan bantuan kepada jalan kebajikan.
Graf persembahan Siti Nurhaliza juga cukup kemas dan mampu membawakan semua lagu dengan bersahaja meskipun mencabar.
Ibu kepada dua cahaya mata ini juga bijak memilih lagu yang membuatkan seluruh stadium menyanyi tanpa perlu diminta lebih-lebih lagi menerusi segmen Mega Karaoke.
Persembahan duet Siti Nurhaliza bersama Judika dan Syameel juga memukau hadirin.
Empat busana yang digayakan juga sangat menawan dengan penampilan eksklusif seorang ratu. Tak perlu berlebih-lebih semuanya manis dan melengkapi persembahan yang ditampilkam
Pujian juga buat penyanyi kesayangan ramai ini kerana sudi memberi peluang kepada pereka baharu mereka dan menjahit busana untuk konsert berskala besar.
Komunikasi Siti Nurhaliza terus mencuri hati ramai, mampu mengawal seisi stadium yang terpana dengan setiap bait kata tuturnya.
Sekeping Nota Harapan yang dilayangkan kepada seisi dewan ketika persembahan juga menjadi tanda hati buat mereka yang hadir.
Secara keseluruhan konsert yang dibawakan oleh Yayasan Nurjiwa dan penaja utama Cuckoo itu satu lagi resume Siti Nurhaliza kekal menjadi penyanyi nombor satu.
Nombor yang tidak pernah dipinta olehnya, tetapi diterjemahkan dengan bergaya menerusi konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza.
Siti Nurhaliza yang sentiasa membumi, meski selesa di atas takhta. – THE VOKAL