Setahun Bercerai Dan Kali Pertama Bertemu Semula Di Sidang Akhbar, Azri Dan Ellie Bersikap Profesional
KUALA LUMPUR – Selepas setahun bercerai, pelakon dan pengarah Ellie Suriaty akhirnya bertemu semula dengan bekas suaminya iaitu pelakon Azri Iskandar dalam satu majlis pelancaran drama yang diadakan di sini, hari ini.
Tidak sesekali mengelak, Ellie, 53, memberitahu mereka tetap bersikap profesional demi menjalankan tugas sebagai pelakon untuk drama lakonan masing-masing.
“Kami bersikap profesional kerana berada dalam bidang yang sama dan mustahil tidak bertegur sapa apabila hadir ke acara sama.
Ketika sidang akhbar preview drama Astro baru-baru ini, Ellie dan Azri hadir sebagai pelakon drama Tanah Kubur, namun berbeza episod.
Sementara itu, Elly berkata dia dan bekas suami tidak pernah bersengketa sejak berpisah tahun lalu.
“Saya tidak bermusuh dengan dia pun. Penceraian kami sebelum ini pun dengan cara baik. Kalau ada konflik antara kami sekalipun, saya tetap akan bersikap profesional,” jelasnya.
Dia yang popular menerusi drama Orang Gaji 41 itu juga tidak menolak sekiranya ditawarkan berlakon dalam sebuah filem atau drama yang sama dengan Azri.
“Namun, kalau sudah berada dalam satu set penggambaran yang sama, apa boleh saya lakukan sebab kita pun kena memudahkan kerja orang lain,” jelasnya lagi.
Ditanya soal hubungan Azri atau nama sebenarnya, Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar, 55, dengan anak-anak, Ellie memaklumkan bekas suaminya tidak pernah culas dalam menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.
“Hubungan anak-anak dengan Azri buat masa ini sangat baik dan saya tidak pernah pisahkan mereka. Saya selalu ingatkan anak-anak supaya menelefon dan bertanya khabar ayah mereka setiap hari.
Untuk rekod, Azri dan Ellie bercerai talak satu pada 17 Mei 2022.
Beberapa minggu selepas bercerai, Azri mengesahkan dia dan kekasih yang dikenali sebagai Dr. Azra sudah mengikat tali pertunangan pada 29 Jun tahun lalu bertempat di Kangar, Perlis.
Bagaimanapun, menurut Azri, majlis perkahwinan terpaksa ditunda kerana duit yang dikumpul masih belum mencukupi.
Azri dan Elly dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 18, dan Nur Azreen, 14.
Azri juga menerusi perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29, dan Nur Anis Mastura, 27. – THE VOKAL