Selepas Tujuh Tahun Jadi Penyanyi, Akhirnya Amir Masdi Lancar Album Sulung – “Inilah Impian Saya!”
KUALA LUMPUR – Usai tujuh tahun bertapak dalam arena seni muzik tempatan, Amir Masdi akhirnya berjaya menunaikan impiannya untuk memiliki album.
Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 27, tampil dengan album sulung yang diberi judul sempena namanya sendiri dan memuatkan sebanyak 12 lagu kesemuanya.
“Lagu-lagu dimuatkan dalam album ini termasuk yang pernah dikeluarkan serta karya-karya baharu hasil nukilan saya bersama beberapa penulis lirik dan komposer lain.
“Bagi saya, tidak lengkap sekiranya seseorang itu tiada album yang menjadi satu kekuatan buat penyanyi di mata umum,” katanya.
Lebih menarik, Amir turut mencabar diri dengan melawan arus semasa apabila mengeluarkan album berkenaan dalam bentuk fizikal, selain dilancarkan di semua platform digital.
“Bukan itu sahaja, album fizikal juga mempunyai nilai sentimental tersendiri berbanding versi digital,” katanya menyuarakan pandangan.
Amir menambah, sebagai seorang penyanyi, dia mahu meninggalkan satu legasi, bukannya mengejar populariti atau mengaut keuntungan semata-mata. – THE VOKAL