Sekilas Sabtu : Lima Rangkuman Berita Menarik 6 Januari 2024
- Arwah Fiza Selamat Dikebumikan – Suami, Anak-Anak Dan Mak Reda
Jenazah Allahyarham Fiza Kamarudin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves pada jam 12.50 tengah hari tadi.
Jenazah tiba dengan penerbangan terus dari London bersama suami dan dua anaknya sebelum dibawa ke Masjid Kampung Baru.
Lebih 200 orang terdiri daripada keluarga, saudara mara, sahabat industri dan kenalan mengiringi perjalanan terakhir arwah Fiza.
- “Ini adalah Kezaliman Pihak Tertentu.” – MB Kedah Ulas Pelbagai Isu Dakwa Ada Kaitan Politik
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan membongkar plot sebenar yang berlaku dalam pelbagai isu termasuk penahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) membabitkan isu rasuah.
Menteri Besar Kedah itu mendakwa keadaan berlaku ketika ini adalah kezaliman pihak tertentu yang menggunakan agensi kerajaan untuk tujuan politik dan kepuasan peribadi.
Beliau yang juga Presiden KFA menegaskan, individu ditahan SPRM terbabit bukan ‘orang kaya’ sebaliknya hidup dalam kesempitan.
- Sultan Johor tidak terima permohonan mengadap sehingga 31 Januari – Melainkan Majlis Yang Telah Ditetapkan
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah baginda tidak akan menerima apa-apa permohonan mengadap bermula hari ini sehingga 31 Januari depan.
Titah baginda, pemakluman sedemikian melainkan majlis yang telah ditetapkan serta sesi mingguan bersama Menteri Besar Johor serta kepemimpinan kerajaan negeri.
- Pulang Ke Kota Singa – Ramli MS Diserang Vertigo
Datuk Ramli MS atau Tok Ram diserang vertigo ketika dalam perjalanan menziarahi ibunya di Singapura baru-baru ini.
Menurut isterinya yang juga penyanyi, Datin Alyah atau nama penuhnya Noor Hasliah Abu Hassan, 43, pada awalnya Tok Ram mengadu kepalanya mula berasa pening di perhentian bas Larkin, Johor Bahru, Johor.
“Setibanya di perhentian bas Larkin, Tok Ram diserang vertigo dan mengadu kepala sudah berpusing (pening),” katanya dalam Instagram hari ini.
- Mayat Wanita Tanpa Kepala, Tangan Dan Kaki – Polis Percaya Mangsa Bunuh
Mayat wanita ditemukan dalam keadaan menyayat hati, tanpa kepala dan kedua-dua belah tangan serta kaki di dalam tong sampah di longkang jalan besar Alor Gajah-Tampin, akhir bulan lalu.
Itu hasil siasatan awal penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dengan anggota badannya iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong sebelum disumbat di dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di tepi jalan berhampiran Kampung Rimau, Pulau Sebang, di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mayat tidak cukup anggota badan dan tanpa pakaian serta identiti itu ditemui pada 31 Disember lalu, kira-kira jam 2 petang. – THE VOKAL