Sekilas Sabtu : Lima Rangkuman Berita Menarik 30 Mac 2024
- Dua Pelajar Malaysia Maut Di New Zealand – Kemalangan Di Lake Tekapo
Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand melaporkan dua daripada lima pelajar warganegara Malaysia yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lake Tekapo telah terkorban di tempat kejadian.
KLN (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku jam 1.45 petang waktu tempatan pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, tiga mangsa lagi telah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.
- Pengurus Bas Jadi Dalang – Rampasan Syabu RM10.3 Juta
Kegiatan penyeludupan dadah yang turut didalangi pengurus bas persiaran sejak Oktober lalu akhirnya tumpas dengan rampasan syabu bernilai RM10.3 juta, Rabu lalu.
Kejayaan itu hasil serbuan terhadap sebuah rumah teres sekitar daerah ini kira-kira pukul 7.30 malam disertai penahanan empat ahli sindiket terbabit yang berusia 23 hingga 40 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan dilakukan susulan empat pemeriksaan di sekitar Kedah dan Terengganu, pada hari yang sama.
- Tulang Sah Milik Bella – Ditemui Di Berhampiran Lokasi Penemuan Mayat
Enam tulang ditemukan berhampiran rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat, dua bulan lalu, sah milik Bella.
Perkara itu disahkan kakak Bella, Norhisham Samsusah, 36, selepas keluarganya menerima laporan forensik daripada Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, malam tadi.
Tulang terbabit ditemukan oleh pemandu jengkaut berhampiran di lokasi penemuan rangka Bella yang mati dipercayai dibunuh teman lelakinya pada 11.30 pagi, 28 Februari lalu.
- Zul Ariffin Nikah Hujung Tahun – Tangguh Sejak PKP
Pelakon Zul Ariffin nekad untuk menamatkan zaman bujang akhir tahun ini selepas rancangan tersebut terbantut disebabkan fasa pandemik Covid-19.
Kata pemilik nama lengkap Zulkifli Ariffin itu, tiada sebab untuk menangguhkan perkara baik selepas masing-masing sudah bersedia menggalas tanggungjawab.
- Lelaki Israel Dipercayai Perisik – Disifatkan Suspek Yang Tegar
Lelaki Israel dipercayai perisik yang ditangkap di Ampang Rabu lalu disifatkan ‘suspek yang tegar’.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata soal siasat masih diteruskan.
Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Razarudin Husain semalam berkata lelaki Israel berusia 36 tahun ditangkap di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lalu. – THE VOKAL