Sekilas Sabtu : Lima Rangkuman Berita Menarik 20 Januari 2024
1. Cebisan Pakaian Mungkin Bella – Kakak Cam Warna Baju Arwah
Cebisan kain yang ditemui pada rangka tidak sempurna di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, di sini, kemungkinan besar pakaian dipakai Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang hilang pada 14 Disember lalu.
Kakaknya, Norhisham, 36, berkata adiknya itu keluar rumah pada jam 11.40 malam hanya memakai baju kelawar biru gelap sambil ditemani teman lelakinya.
- SPRM Serbu Rumah Tan Sri – Rasuah RM4.5 Bilion
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyerbu kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri kelmarin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 bilion.
Kehadiran pegawai SPRM di kediaman ahli perniagaan yang terletak di ibu negara itu dipercayai dilakukan pada jam 10 pagi.
Menurut sumber, turut diserbu iaitu empat syarikat termasuk salah satu daripadanya adalah syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dihadiri pegawai SPRM bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan.
- Peminat Saman Madonna – Tak Tepati Masa Konsert
Satu saman difailkan terhadap penyanyi yang mendapat gelaran Ratu Pop, Madonna oleh dua peminatnya kerana tidak menepati masa saat memulakan konsert Celebration Tour di Barclays Center, Brooklyn.
Berdasarkan dokumen mahkamah, Madonna, 65, dituduh sebagai menyebarkan pengiklanan palsu (false advertising) kerana memulakan konsert yang berlangsung pada 13 Disember lalu itu, lewat dua jam.
Dua plaintif yang memfailkan saman terhadapnya mendakwa, konsert itu dimulakan pada jam 10.30 malam, sedangkan, jadual asal yang terpapar di dalam tiket dan iklan adalah 8.30 malam.
Tidak hanya itu, kedua-dua plaintif juga mendakwa, kesalahan sama turut berulang pada 14 dan 16 Disember.
- Nasi Kandar RM218 – Pegang Rekod Harga Termahal
Seorang lelaki berjaya memecah rekod membeli nasi kandar ‘termahal’ dengan pelbagai lauk termasuk sotong dan udang kesemuanya berharga RM218, di sebuah premis di Pulau Pinang.
Perkara itu dikongsikan pada Facebook restoran Nasi Kandar Sulaiman di Pulau Pinang, mengenai lelaki tersebut yang dikatakan berjaya memecah rekod di kedai berkenaan.
- UiTM Bakal Semuka – Isu Tamat Kontrak Niaga Abang Soyaaa
Pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor bakal bersemuka dengan Abang Soyaaa dan mengambil maklum berkenaan video di sosial media TikTok Abang Soyaaa yang tular pada 18 Januari 2023 lalu, berkaitan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
Dalam video berdurasi 5 minit 4 saat tersebut, pemilik akaun Abang Soyaaa menyelar tindakan pihak UiTM yang menamatkan kontrak perniagaannya di institusi pendidikan tempatan itu tanpa sebarang penjelasan yang munasabah.
Menurut kenyataan rasmi Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Johor, pihak pengurusan dan unit yang terlibat sedang dalam proses menyelesaikan isu berkenaan.
- THE VOKAL