Sekilas Sabtu : Lima Rangkuman Berita Menarik 2 Mac 2024
- Cabaran Tangkap Ular – Bunyi Mengilai Seperti Pontianak
Tugas menangkap ular bukanlah mudah dan berdepan kejadian mistik ketika operasi antara pengalaman tidak dapat dilupakan bagi tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mendengar ular sawa batik mengeluarkan bunyi seperti pontianak mengilai dan mengejar lembaga berupa ular tedung antara pengalaman yang membuatkan bulu roma meremang.
Menceritakan pengalamannya, Syarima Umira Mohamed Khanafi, 24, berkata, dia mengalami peristiwa itu ketika menangkap ular sawa sepanjang kira-kira tiga meter di sebuah rumah lama di Labu, dekat sini pada 2020.
- Siti Nurhaliza Pilih Bakat Muda – Dominasi AJL38 Malam Esok
Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyebut empat nama yang diramalkan bakal menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang akan berlangsung malam esok.
Siti yang pernah tiga kali menjuarai AJL menerusi tiga lagu popular iaitu Jerat Percintaan, Cindai dan Balqis menyebut nama Aishah Retno, Aina Abdul, Ernie Zakri dan Kugiran Masdo.
- Dua Sahabat Lemas – Dihanyut Arus Deras
Dua sahabat yang juga murid Sekolah Rendah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar ditemukan lemas ketika mandi di Pantai Teluk Lipat, Dungun, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, tiga sahabat iaitu Muhammad Danish Mikaill Abdullah, 11, Mohamad Atiff Farrouqi Zainudin, 9, dan Ahmad Aril Farhan Mat Zain, 11, mandi di pantai terbabit.
Ketika sedang mandi, Muhammad Danish Mikaill dan Mohamad Atiff Farrouqi dipercayai dihanyutkan arus ke tengah laut manakala Ahmad Aril Farhan berjaya berenang ke darat.
- Amaran Hujan, Ribut Petir, Angin Kencang – Hampir Seluruh Negara
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hampir seluruh negara sehingga pukul 9 malam.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, amaran tersebut melibatkan Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan Pulau Pinang (Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).
- Mas Kahwin 50 Kilogram Beras – Hasil Tanaman Padi
Seorang lelaki memberikan 50 kilogram beras sebagai salah satu mas kahwin dalam majlis pernikahan di wilayah Jawa Timur, lapor portal berita TribunJatim.
Irwan Sokip, 29, yang berasal dari Ponorogo, memberikan beras tersebut kelmarin selepas menanam padi untuk dijadikan hantaran buat tunangnya, Ikrima Zakiyah, 26.
-THE VOKAL