Sekilas Sabtu : Lima Rangkuman Berita Menarik 16 Mac 2024
- Alasan Cuaca Panas – Enam Dicekup Tak Puasa
Keadaan cuaca panas antara alasan diberikan beberapa individu beragama Islam yang ditahan kerana makan di tempat terbuka serta ponteng puasa pada Ramadan ini, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Rahmad Mariman.
Beliau berkata, sejak 1 Ramadan hingga semalam, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia 20 tahun di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
- Ruhainies Tarik Diri – Elak Kena Boikot
Penganjur acara StarVendors Mega Raya mengumumkan penarikan diri pelakon, Ruhainies daripada terbabit dalam acara itu yang akan berlangsung pada 29 Mac hingga 1 April ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors Sdn Bhd, Datuk Saripah Raziah Mustapha berharap agar keputusan ini akan menamatkan gerakan boikot yang dilakukan masyarakat sejak beberapa hari lalu.
- Stoking Kalimah Allah – KK Mart Minta Maaf
Chai berkata, sepanjang tempoh 23 tahun mengusahakan perniagaan terbabit, tidak pernah pihaknya melakukan kesilapan seumpama itu.
- Dapat RM15,000 Sebulan – Jual Kerepek Kaki Lima
Memperoleh pendapatan lumayan sehingga RM15,000 dengan hanya duduk di kaki lima sebuah bank, seorang wanita warga emas lebih selesa menjalankan aktiviti itu sejak tiga tahun lalu.
Datang seawal jam 6 pagi dengan menunggang motosikal dan berbekalkan ‘kerepek’ untuk meraih simpati, Zaimah (bukan nama sebenar), 63, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa premis sanggup meninggalkan pekerjaan itu.
Zaimah berkata, pendapatan hariannya tidak menentu iaitu antara RM200 hingga RM500 sehari namun jika bulan Ramadan, ia memberi kemewahan luar biasa buatnya serta pengemis lain kerana boleh mencecah RM800 sehari.
- Polis Tahan Tiga Lelaki – Belasah Remaja Cedera Parah
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera parah selepas dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ekoran kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di telinga kiri serta lebam di beberapa bahagian termasuk pipi, leher, bahu dan belakang badan.
Susulan kejadian itu, polis memberkas tiga suspek berusia 15 hingga 37 tahun hari ini bagi membantu siasatan. – THE VOKAL