Sekilas Ahad: Ringkasan Berita Menarik 4 Februari 2024
1. Kenyataan Menghina Pengampunan Najib – PDRM Panggil Tony Pua
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memangil bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja berhubung pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan itu bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja mengenai kuasa mutlak Yang Dipertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasa di bawah artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.
2. Ekstasi Koko – Polis Tumpas Sindiket Bungkus Dadah
Satu sindiket pengedaran dadah di negeri ini dikesan cuba bereksperimentasi dengan menjadikan serbuk ekstasi kelihatan seakan serbuk koko bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Sindiket itu turut membungkus dadah itu ke dalam paket pelbagai serbuk minuman berperisa seperti serbuk teh, kopi dan perisa buah-buahan sebelum diedarkan.
Bagaimanapun, sindiket yang beroperasi sejak Julai tahun lalu, tumpas setelah lima lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 31 tahun ditahan dalam dua serbuan di dua rumah sewa sekitar Iskandar Puteri, 29 Januari lalu.
3. 10 Lagi Ditahan – Tahanan Lari Dari Depoh
Polis menahan 10 lagi tahanan lelaki yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bidor pada Khamis lalu di ladang kelapa sawit Kampung Senta, Bidor, kira-kira jam 3 petang tadi.
Penahanan itu menjadikan jumlah tangkapan setakat jam 6.30 petang tadi seramai 51 orang.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua tahanan berkenaan adalah lelaki Rohingya yang ditangkap di ladang kelapa sawit.
4. Kekurangan Bukan Masalah – Aya Syukur Diterima Baik
Pelakon dan pelawak, Aya Amiruddin tidak melihat bentuk tubuhnya yang besar selain berkulit gelap sebagai satu masalah yang menyekat peluangnya menceburi industri seni tanah air.
Kata Aya, 27, sebagai pelakon dia bersyukur apabila diterima baik penggiat seni yang mengalu-alukan kehadirannya untuk memeriahkan industri dengan keunikan yang dimiliki.
5. Azizulhasni Tarik Diri – Impian Emas Tak Kesampaian Dek Kesihatan
Hasrat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk meraih emas berganda pada Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia tidak tertunai selepas tersingkir di separuh akhir dalam acara pecut hari ini.
Selain itu, dia juga tidak mengambil bahagian dalam acara penentuan pingat gangsa selepas dinasihatkan doktor untuk menarik diri kerana mengalami gejala perikarditis sebaik aksi separuh akhir tamat.
– THE VOKAL