Sedar Suaminya Jadi Sasaran Warganet, Bunga Citra Lestari Titip Kata-kata Semangat Buat Tiko Aryawardhana
Pengantin baharu, Bunga Citra Lestari sedar mengenai kutukan dan tomahan yang dilemparkan netizen kepada suaminya, Tiko Aryawardhana.
Menerusi hantaran di IG Story, Bunga atau mesra dengan sapaan BCL tampil mempertahankan suami tercinta.
Menurut Bunga, orang ramai berhak untuk bercakap apa sahaja yang mereka mahukan, namun hal itu sedikit pun tidak melunturkan semangat suaminya.
“Biarkan mereka menilai awak, biarkan mereka salah faham dengan awak, biarkan mereka bergosip tentang awak.
“Pendapat mereka bukan menjadi masalah awak. Awak kekal baik, komited dengan cinta dan bebas melakukan apa sahaja dengan diri awak sendiri.
“Walau apa pun mereka kata dan buat pada awak, jangan biarkan itu merendahkan nilai diri awak atau kebaikan yang ada pada awak,” tulisnya.
Tambah pelantun lagu Cinta Sejati itu, dia berharap Tiko akan sentiasa bersemangat melakukan kebaikan.
“Teruskan buat kebaikan dan bersinar seperti selalu yang awak lakukan,” ulasnya.
Pada hantaran sama, Bunga turut menyampaikan ucapan ulang tahun kelahiran buat Tiko.
Terdahulu, nama Bunga dan Tiko menjadi topik hangat bualan netizen selepas mereka didakwa meneguk minuman keras dalam sebuah acara dipercayai majlis ‘after party’ bagi meraikan perkahwinan pasangan itu yang bernikah pada 4 Disember lalu.
Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut selain ada yang mengatakan Bunga sudah tersalah memilih pasangan hidup. – THE VOKAL