“Saya Sampah, Tapi…” – Siti Jamumall Jadi Diri Sendiri, Tidak Fake Guna Agama
Meskipun sering menuai kecaman netizen, usahawan selebriti Siti Jamumall selesa menjadi diri sendiri dan memaparkan sisi sebenar dirinya di media sosial berbanding memilih untuk tampil dengan sisi berbeza.
“Saya jadi diri saya, walaupun ada yang gelar saya sampah tapi saya tak fake, apa yang anda lihat itulah saya,” katanya ketika ditemui pada majlis resepsinya bersama suami Aiman Tak Kisah semalam.
Siti berkata demikian ketika ditanya apabila netizen mengecam dirinya sebaliknya memberikan reaksi positif pada pihak yang menunggang agama dan terbabit dengan aktiviti tidak senonoh.
“Sebagai contoh saya berkongsi saya bernikah dengan suami di Thailand secara sah bukan kahwin lari pun saya dikecam.
“Tapi bila ada yang terang-terang buat hal dan salah boleh pula diterima baik oleh netizen. Yang penting saya tak menipu dan saya tunjuk siapa saya sebenar,” katanya.
Lantaran, gelaran ‘pengantin sampah’ yang dilempar netizen kepada pasangan pempengaruh itu langsung tidak memberi kesan.
Sebaliknya, mereka saling bahagia dan melayari bahtera rumah tangga dengan harmoni meski tidak terlepas daripada kecaman ramai, lebih-lebih lagi sejurus berita pernikahan mereka di Satun, Thailand pada 1 Jun lalu mencetuskan tular di media sosial.
Dalam pada itu, majlis resepsi pasangan ini juga turut menjadi bualan apabila kira-kira 5,000 tetamu hadir bagi meraikan hari bahagia termasuk sambutan ulang tahun kelahiran Siti Jamumall, semalam.
Menerusi majlis yang diadakan di Magica Monterez Hall, Shah Alam, Selangor, itu, Siti Jamumall dan Aiman Tak Kesah tampil dengan gimik lakonan semula kisah hidup mereka yang dianggap ‘sampah’ oleh netizen.
Menurut Siti atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin, 25, gimik tersebut memang dirancang sebagai atur cara dalam majlis resepsi supaya dapat membuka mata masyarakat bahawa kisah mereka ini bukan sampah, namun ia adalah permata.
Siti pada masa sama bersyukur apabila ramai yang hadir selain ada yang menitipkan doa kebahagiaan kepada dia dan suami.
Ditanya mengenai kos majlis secara keseluruhan, Siti berkata ia mencecah RM300,000 termasuk nilai tajaan.
“Sekitar RM200,000 dan kalau ditambah dengan nilai tajaan, boleh cecah lebih RM300,000,” katanya.
Selain tarian tradisional, majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Zizi Kirana dan Ayu Damit.
Pada 1 Jun lalu, Siti Jamumall memilih untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya, Aiman Tak Kesah atau nama sebenarnya, Khairul Aiman Abdul Kudus, 21, di Satun, Thailand. – THE VOKAL