“Saya Masih Trauma, Nak Tidur Pun Payah!” – Pihak Berkuasa Salah Info, Ibu Baru Bersalin Sia-sia Kena Lokap
Seorang ibu muda yang masih dalam tempoh berpantang mengalami trauma apabila berdepan detik hitam terpaksa meringkuk dalam lokap selama empat hari atas dakwaan jenayah dilakukan pihak lain.
Liew Jin Yih atau dikenali sebagai Nichole, 25, mendedahkan, dia baru sahaja dibebaskan pada 7 September lalu setelah didakwa melakukan penganiayaan terhadap pembantu rumah warga Kemboja, Sok Vann Chandy, 28.
Menurut Nichole, dianggarkan seramai 15 hingga 20 anggota polis menyerbu rumah ibunya di Taman Sri Jempol.
“Ia amat mengejutkan, saya ditahan reman kerana dilaporkan melakukan penderaan terhadap pembantu rumah saya, Chandy,” dedah Nichole kepada media ketika ditemui dalam satu sidang media di Bandar Bukit Puchong, baru-baru ini.
Tambah mencurigakan kata Nichole, sepanjang empat hari tempoh reman berlalu, tiada seorang pun anggota polis mengambil keterangan daripadanya memandangkan itu adalah prosedur soal siasat.
“Sebelum ini mereka beritahu bahawa penahanan saya adalah di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
BACA: Ibu Dalam Pantang Trauma Lalui Detik Hitam Disumbat Empat Hari Dalam Lokap Tanpa Usul Periksa
Usai dibebaskan, keluarga serta kenalannya telah mendapatkan khidmat peguam untuk merujuk kes dihadapi Nichole ke beberapa pihak berwajib bagi mendapatkan penjelasan sebenar asbab dia ditahan.
Selepas beberapa hari kes itu dipanjangkan, hasil penilitian mendedahkan bahawa amah berusia 28 tahun berkenaan rupa-rupanya membuat laporan terhadap majikan terdahulu, sebelum Chandy mula bertugas di rumah Nichole di Puchong.
Nichole yang mengakui kakinya sering berasa kebas akibat kesejukan tidur pada setiap malam, apatah lagi kondisi tubuhnya yang masih lemah selepas bersalin bagaimanapun enggan menuding jari menyalahkan sebarang pihak.
“Saya suarakan hal ini bukan untuk menuntut keadilan dengan menyabitkan pihak-pihak tertentu, sebaliknya sekadar memberi peringatan agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi kepada sesiapa,” tegasnya.
Pun begitu, Nichole menerangkan, hal tersebut masih lagi dipertimbangkan untuk dibawa ke muka pengadilan ataupun sebaliknya. – THE VOKAL