“Saya Doakan Individu Itu Diberi Hidayah.” – Siti Nurhaliza Menangis Bersebab (VIDEO)
“Saya doakan individu itu diberi hidayah.” Demikian kata Datuk Seri Siti Nurhaliza sebaik ditanya mengenai dakwaan seorang individu kononnya beliau menggunakan air mata bagi meraih simpati.
Penyanyi kesayangan ramai itu berkata, beliau tidak faham niat sebenar pihak berkenaan yang bagaikan terus mencari salah tanpa sebab munasabah.
Tuturnya, air mata yang jatuh setiap kali berkongsi kisah penderitaan penduduk Gaza ialah kerana mendapat maklumat harian mengenai apa yang dilalui oleh mereka.
Baru-baru ini di ruangan X ada dakwaan secara sinikal menuduh Siti Nurhaliza terpaksa menangis untuk meriah simpati bagi mendapatkan sumbangan orang ramai dalam misi kebajikan penyanyi itu.
Enggan melayan perkara seperti itu, Siti Nurhaliza memilih untuk memberi fokus kepada rutin harian yang lebih penting termasuk urusan kerjayanya.
Penyanyi lagu Menyapa Dunia itu ditemui pada Majlis Iftar Nurjiwa Prihatin anjuran kolaborasi Yayasan Nurjiwa dan Yayasan Prihatin Nasional yang menyantuni lebih 100 penerima sumbangan barangan keperluan berserta duit raya.
Mengenai sekeping foto dirinya yang ditular kononnya ditahan polis, Siti Nurhaliza ketawa dan tidak sangka dirinya turut menjadi mangsa seperti rakan selebriti lain.
Berkongsi keadaan terkini wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza, Siti Nurhaliza melahirkan rasa syukur Allah terus melindungi Dr Mohanad dari sebarang ancaman bahaya.
Siti Nurhaliza melahirkan penghargaan kepada semua penyumbang dan rakyat Malaysia yang perihatin sehingga membantu Yayasan Nurjiwa meneruskan bantuan kepada saudara kita di sana.
Beliau berkata, usaha itu tidak dapat dilakukan sendiri oleh Yayasan Nurjiwa tanpa sokongan dan sumbangan daripada semua pihak. – THE VOKAL