Sambut Ulang Tahun Ke-10 Penganjuran, Produksi Gegar Vaganza Anjur Jerayawara Di Empat Lokasi
KUALA LUMPUR – Sempena ulang tahun ke-10 tahun program realiti Gegar Vaganza, Astro buat julung kali menghadiahkan buah tangan khas iaitu GV Roadshow 2023 yang bakal singgah di empat lokasi, bermula 12 Ogos ini.
Lokasi tersebut ialah Kuantan, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan satu lokasi di utara Malaysia, khas buat peminat Gegar Vaganza yang sentiasa memberikan sokongan padu sepanjang sembilan tahun bersiaran.
Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, jelajah ini juga sebagai merealisasikan impian Astro dalam usaha merapatkan hubungan antara peminat dan penyanyi tersohor tanah air.
“Ini sebagai tanda terima kasih kerana menyokong GV selama ini di samping untuk mendekatkan bintang-bintang GV dengan peminat yang tidak pernah berkesempatan bersua muka dan menyaksikan GV secara langsung,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman khas Gegar Vaganza.
GV Roadshow 2023 akan bermula di Tasek KotaSAS Kuantan pada 12 Ogos, diikuti di Puteri Harbour, Johor Bahru pada 26 Ogos. Tarikh dan lokasi di Kuala Lumpur dan di utara pula akan diumumkan tidak lama lagi.
Pentas GV Roadshow 2023 akan dimeriahkan oleh alumni Gegar Vaganza seperti Wann, Elyana, Dina Nadzir, Aweera, Tom, Fuad Rahman, Sham Visa dan ramai lagi.
Selain itu, konsert showcase Jamming with the Stars akan menemui peminat setiap Khamis bermula 17 Ogos, jam 9 malam.
Showcase secara langsung ini akan diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur dan boleh juga distrim secara langsung di platform digital Gempak.
Ia akan dibarisi bintang Gegar Vaganza dari musim pertama hingga sembilan antaranya Jaclyn Victor, Aliff Aziz, Naqiu, Noryn Aziz, Dina Nadzir dan ramai lagi.
Sementara itu, pengumuman barisan artis, juri dan hos GV10 akan diadakan 29 Ogos depan.
Sesuai dengan usia 10 tahun, Norzeha menjanjikan kelainan dalam Gegar Vaganza musim ini yang dijangka bermula Oktober depan.
“Satu perkara yang saya boleh katakan, kombinasi musim kali ini sangat luar biasa,” tambahnya. – THE VOKAL