
Salah Raja Saudi – Bakal Hijrah Ke Liga Pro Saudi
Bintang bola sepak Mesir, Mohamed Salah sudah 100 peratus pasti berhijrah ke Liga Pro Saudi pada musim panas akan datang.

Perkara itu dikongsikan legenda Liverpool Mark Lawrenson.
“Seratus peratus, Mo Salah akan pasti angkat kaki pada musim panas ini. Tidak kira apa berlaku pada musim ini dan saya fikir terdapat perjanjian pada musim panas lalu.

“Dia akan pergi dan beraksi di tempat lain terutamanya Arab Saudi. Liverpool akan mendapat yuran lumayan dan mendapat beberapa pemain baharu. Salah akan menjadi raja di Saudi,” katanya dalam satu laporan media.
Salah kini menduduki tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 15 gol.
Salah terlepas beberapa aksi beberapa minggu lalu selepas mengalami kecederaan pada kejohanan Piala Negara-Negara.

Pemain berusia 31 tahun itu tampil kali pertama tahun ini ketika masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol ketika Liverpool menewaskan Brentford 4-1 Sabtu lalu.
Perpindahan lumayan ke Liga Pro Saudi membolehkan dia muncul antara pemain berpendapatan paling mewah di dunia sekali gus tawaran itu terlalu sukar ditolak.
Lawrenson percaya perjanjian sebenarnya sudah dipersetujui pada musim panas lalu untuk Salah meninggalkan Anfield dengan Arab Saudi menjadi destinasi seterusnya. – THE VOKAL