Rosyam Nor Seru Anak Muda Laung Azan Dalam Program Muazin, Juara Bakal Menangi Wang Tunai RM110,000
KUALA LUMPUR – Pengguna tegar media sosial beragama Islam diseru menyahut cabaran sertai pertandingan azan secara atas talian berjudul Muazin terbitan Suhan Channel yang menawarkan hadiah bernilai RM110,000.
Penerbitnya, Datuk Rosyam Nor berkata, inisiatif yang julung kali diadakan secara maya itu bertujuan meraikan keindahan, kesenian dan kepentingan azan selaku seruan mengerjakan solat.
“Dengan ini, masyarakat berpeluang melihat peserta menggunakan kemahiran mereka dan kaedah berbeza mengalunkan azan.
“Jadi, saya mempelawa semua umat Islam yang gemar menggunakan sosial media agar menyahut cabaran ini, sekali gus menonjolkan bakat kecemerlangan azan anda,” katanya.
Menurut Rosyam, peserta boleh memilih untuk memuat naik video laungan azan di platform TikTok, Fecebook atau Instagram bermula 7 hingga 26 Julai ini.
“Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak.
“Bagi pertandingan ini, kami menawarkan hadiah bernilai RM110,000 berupa wang tunai, trofi, pakej mengerjakan umrah, hamper dan sejadah,” kata Rosyam.
Barisan panel juri Muazin terdiri daripada ustaz bertauliah dalam bidang taranum dan tajwid seperti Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad dan Ustaz Amir Rahman Abas.
Mereka yang berminat menyertai pertandingan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.suhanchannel.com. – THE VOKAL
Sumber: HIB GLAM