Rezeki Suami Dan Anak-Anak Arwah Fiza – PERKESO Salur Faedah Pencen Penakat & Faedah Mayat
Kasih sayang Allahyarham Fiza Kamarudin terus mengalir buat suami dan anak-anaknya apabila carumannya bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mebuahkan hasil.
Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin atau Fiza yang meninggal dunia di London pada Disember tahun lalu layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Mayat (FPM) dari Perkeso.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, semakan rekod caruman mendapati arwah pernah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza sejak Disember 2002.
Allahyarham Fiza, 41, meninggal dunia di London ketika bercuti akibat pendarahan otak pada 28 Disember di kota London.
Arwah ke London dengan tajaan dan percutian itu adalah hajat terakhir arwah Fiza bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.
Jenazah Fiza selamat dikebumikan pada Sabtu lepas sebaik tiba dari London.
Kos membawa pulang jenazah hasil sumbangan dari pelbagai pihak termasuk Tabung Bantulah Fiza oleh Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di mana sebanyak RM50,000 disampaikan kepada waris. – THE VOKAL