Remaja 15 Tahun Rentung – Bapa Saudara Cuba Selamatkan
Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Lasing di Ranau, awal pagi tadi.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mayat Agnes Jong Anak Adam, 15, ditemukan rentung di ruang tamu rumah tingkat bawah sebaik api berjaya dipadamkan oleh anggota bomba.
Memetik laporan Harian Metro, difahamkan, ketika kejadian, bapa saudara mangsa cuba untuk menyelamatkannya, namun gagal, berikutan asap tebal dan api yang marak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.36 pagi.
Katanya, sebuah jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lapan anggota bomba digerakkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, api berjaya dikawal 2.55 pagi dan seorang remaja perempuan ditemukan rentung di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.