Raya Raya Raya – Tol Percuma 8 Dan 9 April
Kerajaan bersetuju memberikan kemudahan tol percuma selama dua hari pada 8 dan 9 April kepada semua pengguna lebuh raya bagi kenderaan Kelas 1 (persendirian) yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri tahun ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.
Memetik laporan Bernama, beliau berkata pemberian tol percuma itu akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April (Isnin) dan akan berakhir pada 11.59 malam, 9 April (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan berjumlah RM37.6 juta.
Dalam pada itu beliau berkata bagi pengguna lebuh raya Utara Selatan (PLUS), mereka digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) dengan memuat turun aplikasi digital MyPLUS-TTA.
Beliau berkata menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian.
Nanta berkata bagi mengurangkan kesesakan semasa Aidilfitri ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya PLUS yang telah dikenal pasti berlaku kesesakan kritikal bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar. – THE VOKAL