Rampasan RM181 Juta – Termasuk Hidupan Liar
Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan tidak bercukai, minyak diesel bersubsidi serta hidupan liar bernilai lebih RM181 juta bagi tempoh 1 Januari lalu hingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).
Kata beliau, sebanyak 30 serbuan dan operasi termasuk Op Taring Alpha 1, Op Taring Alpha 2, Op Taring Bravo 1 dan Op Bersepadu Khazanah digerakkan di seluruh negara.
Dalam pada itu, Hazani memaklumkan pihaknya turut menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai menerusi tangkapan lapan individu dengan rampasan lebih RM98 juta di Kuching, Sarawak pada 6 Februari lalu.
Jelas beliau, barangan termasuk barang seludup bernilai RM98.7 juta di Kuching, Sarawak pada 6 Februari lalu.
Katanya, operasi itu juga dijalankan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak dan Polis Kontinjen Sarawak.
Beliau berkata, PDRM sentiasa komited dalam memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi supaya tidak berlakunya ketirisan hasil negara.