Putri Ariani Enggan Bertemu Media – Bapa Tak Izin Sambung Temu Bual
Berbeza dengan bintang antarabangsa Alan Walker yang mesra melayan media, Putri Ariani pula memilih untuk enggan menyambung temu bual dengan wakil media yang menantinya.
Penyanyi baharu dari Indonesia itu hadir pada sidang media Konsert Alan Walker World Tour 2024 yang diadakan di sini selaku penyanyi undangan.
Sikap penyanyi itu tidak profesional kerana bukan saja membiarkan media menanti hampir dua jam malah berdolak dalik enggan ditemubual.
Menurut wakil penganjur, bapa penyanyi yang popular menerusi America’s Got Talent (AGT) itu tidak membenarkannya bertemu dengan media semula tanpa alasan kukuh.
Terdahulu, media tempatan hanya berpeluang bertanyakan cuma tiga soalan yang bahkan Putri juga tidak menjawabnya dengan baik.
Namun, sesi temu bual itu terpaksa dihentikan selepas pengurusannya membawa penyanyi berusia 18 tahun itu keluar dewan atas alasan belum bersarapan.
Wakil penganjur bagaimanapun berjanji akan membawa Putri bertemu media semula bagi meneruskan sesi temu bual yang tertangguh berhubung konsertnya dengan Alan Walker yang bakal berlangsung pada 22 Jun ini di ibu negara anjuran Megatix Malaysia.
Bagaimanapun, selepas menunggu dua jam, pihak media kesal dengan tindakan tidak profesional pengurusan penyanyi berkenaan.
Putri Ariani menjadi perhatian dunia selepas dipilih sebagai finalis AGT 2023 serta merakamkan lagu bersama Walker berjudul Who I Am serta Peder Elias. – THE VOKAL