PM Doakan Presiden Pas Kembali Sihat – Abdul Hadi Jalani Prosedur Rawatan Di IJN
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kembali sihat seperti sedia kala.
Abdul Hadi kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan di Institusi Jantung Negara (IJN) dan baru sahaja melalui prosedur rawatan dan kini sedang menjalani dialisis.
Terdahulu, Anwar tiba di pusat rawatan itu untuk menziarahi Abdul Hadi dan rakannya, Ziauddin.
Kali terakhir, Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan menghadapi masalah kesihatan pada Jun tahun lalu dan beliau dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan serta pemantauan doktor.
Abdul Hadi, 76, yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), pernah dimasukkan ke hospital, dipercayai akibat sesak nafas pada Februari tahun lalu.
Beliau dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas dilaporkan sesak nafas sebelum dipindahkan ke IJN untuk rawatan lanjut.
Sahabat Anwar, Ziauddin, 72, pernah berkhidmat sebagai penasihat Anwar ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum ini. – THE VOKAL