Pilih Fokus Perniagaan Beg Kulit -Aliff Syukri Tolak Tawaran Konsert
Usahawan selebriti, Datuk Aliff Syukri mendedahkan beliau menolak tawaran untuk muncul sebagai penyanyi undangan dalam sebuah konsert di Pulau Pinang baru-baru ini.
Beliau berkata faktor bayaran yang tidak berbaloi membuatkan dirinya menolak tawaran berkenaan dengan baik dan lebih memilih untuk memberikan fokus terhadap perniagaan beg kulitnya yang mendapat sambutan hangat.
“Penganjur ada hubungi saya, tapi bayaran terlalu rendah dan tidak berbaloi jadi saya tak teruskan dan saya fikir lebih baik fokus perniagaan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis Hi-Tea Anthon’s Leather di Hotel One World Petaling Jaya.
Mengulas mengenai perniagaan begnya, Aliff berkata semuanya tercetus apabila dia sendiri mula menjual dan berhenti membeli produk atau jenama beg yang ada kaitan dengan Israel sejak penindasan terhadap Palestin dilakukan.
“Saya sendiri sudah jual dan letgo lebih 20 peratus koleksi beg jenama antarabangsa dan sudah tidak membeli beg baru dari jenama terbabit.
“Sebab itu timbul idea dan saya keluarkan beg dengan kualiti setanding jenama berkenaan pada harga mampu milik dan Alhamdulillah mendapat sambutan luar biasa,” katanya.
Beliau berkongsi, sejak hampir setahun lalu jualan beg keluarannya sudah mencecah ratusan ribu unit dan membuka peluang perniagaan kepada ramai usahawan.
“Saya dan isteri sangat bersyukur kerana perniagaan ini terus mendapat sokongan dan rezeki hukan hanya untuk kami tetapi juga kepada semua staf serta usahawan kami,” katanya.
Sementara itu, Aliff turut meluahkan rasa simpati dan tumpang bersedih dengan berita perceraian melibatkan beberapa pasangan selebriti popular tanah air.
“Bila saya tengok orang bercerai saya faham apa yang mereka rasa, bukan senang menghadapi perceraian dan saya selalu mendoakan mereka.
“Saya tak boleh tengok orang bercerai, saya rasa sedih kerana saya yakin tiada seorang pun yang berkahwin mahu bercerai melainkan ia adalah jalan terakhir.
““Saya juga nak ucapkan terima kasih pada isteri kerana selama 18 fahun berkahwin, Alhamdulillah walau berdepan dugaan dia sabar.
“Tetapi andai katalah isteri saya tiada, saya mungkin tak akan berkahwin lagi,”katanya. Sekadar info, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Datin Nur Shahida Mohd Rashid pada 2007.
Pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah, Luqman Al Hakim selain turut menjaga seorang anak angkat. – THE VOKAL