Penyanyi Rap Terkenal, Altimet Diumum Sebagai Calon PH DUN Lembah Jaya, Yakin Tambat Hati Pengundi
SHAH ALAM – Penyanyi rap dan komposer terkenal, Altimet dinamakan sebagai calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di bawah Parlimen Ampang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.
Altimet atau nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata, minatnya terhadap muzik tidak pernah padam apabila masih menulis lagu biarpun sudah lama tidak membuat persembahan.
“Saya telah diberi tugas oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjadi penyelaras di Lembah selama sembilan bulan sebelum DUN bubar.
“Saya juga sudah berhenti buat persembahan sejak 2019, saya anggap itu sebagai pekerjaan untuk mencari rezeki, tetapi dari segi minat, saya masih berminat menulis lagu sehingga sekarang,” katanya yang juga Ketua Cabang Ampang.
Dalam pada itu, pelantun lagu Amboi itu tetap mahu memberikan yang terbaik buat masyarakat setempat selaras dengan usahanya.
“Menang atau tidak, itu datang dari Allah SWT, apa yang saya yakin 100 peratus adalah usaha yang keluar daripada badan saya sendiri itu yang saya yakin saya akan pergi lebih daripada 100 peratus.
“Sesuai untuk kanak-kanak membesar, ibu bapa mencari rezeki dan menjaga anak-anak serta untuk datuk dan nenek bersara dan menghabiskan masa mereka di Ampang,” ujarnya.
Terdahulu, Altimet pernah mengumumkan dirinya sudah bersara dari nyanyian kerana mahu memberi fokus pada bidang politik. – THE VOKAL
Sumber: MALAYSIA GAZETTE